Saturday, May 11, 2013

Bercuti ke Pulau Langkawi



Assalamualaikum….

            Sudah menjadi kebiasaan pada setiap musim cuti sekolah, saya dan ahli keluarga mengambil peluang dan masa yang ada ini untuk bercuti bersama-sama di Pulau Langkawi. Antara sebab tarikan kami untuk bercuti di sana adalah kerana Pulau Langkawi merupakan negara kepulauan berbaring yang cantik daripada 104 pulau-pulau di sebelah utara pantai barat Semenanjung Malaysia. Selain itu, semua barangan yang dijual di pulau ini dibebaskan daripada cukai kerajaan. Oleh itu Pulau ini adalah sebuah tempat syurga bagi pelancong seperti kami yang sukakan aktiviti membeli-belah.

            Perjalanan kami pada hari khamis jam 9.30 pagi, menuju ke Lapangan Terbang LCCT untuk penerbangan jam 10.45 pagi. Penerbangan mengambil masa satu jam untuk tiba di Lapangan Terbang Langkawi.  Seterusnya, kami menuju ke pekan untuk menginap di hotel lagenda yang berdekatan dengan pusat membeli belah Haji Ismail Group. Destinasi kami yang pertama adalah menuju ke Langkawi Cable Car. Malangnya kami telah dimaklumkan bahawa Cable Car ditutup sementara kerana keadaan cuaca yang berangin kuat. Dikatakan bahawa bacaan angin di atas adalah 20, sementara kekuatan angin maksima yang dibenarkan untuk cable car beroperasi adalah 12. Jadi, sementara menunggu dan berharap kekuatan angin akan berubah, kami menikmati makanan tengahari di salah sebuah restoran yang terdapat di sana. Selesai sahaja menjamu selera, keadaan angin kembali normal dan kami berjaya menaiki Cable Car dan sempat bergambar di atas gunung Mat Cincang. Pemandangan yang cantik dan tiupan angin membuatkan kami lama berada di atas. Walaubagaimanapun, kami sangat teruja dan terkesan dengan keindahan pulau yang terdapat di langkawi.

            Destinasi seterusnya, kami berkunjung ke  “Buffalo Farm” atau lading kerbau. Menariknya di sini, kami boleh melihat kerbau secara dekat, mengetahui bagaimana menjaga kerbau dan sebagainya. Diladang ini juga terdapat cafe yang menjual makanan berasaskan daging kerbau dan susu kerbau. Antara yang menarik perhatian ialah aiskrim yang dikatakan diperbuat daripada susu kerbau. Kami menikmatinya dan rasanya lebih sedap daripada aiskrim biasa kerana ianya sangat lemak manis. Juga boleh menikmati pelbagai perisa aiskrim antaranya vanilla, strawberi dan coklat. Tempat ini dibuka seawal 10.00 pagi sehingga 5.00 petang pada setiap hari kecuali hari jumaat. Selepas itu, kami pulang ke hotel untuk merehatkan badan.

            Hari kedua kami bercuti di Pulau Langkawi ini, kami mulakan dengan berkunjung di Makam Mahsuri. Sudah tentu semua sudah maklum peristiwa yang dikaitkan dengan Mahsuri ini yang dikatakan dijatuhi hukuman mati kerana berkelakuan sumbang dengan seorang saudagar. Kisah dongeng ini mendapat perhatian apabila adanya unsur-unsur mistik dan sumpahan seorang wanita yang difitnah. Bergitulah cerita yang saya faham ketika melawat makam Mahsuri ini, ketika berkunjung, di dalam kawasan makam ini terdapat rumah tradisional, perigi, barangan lama, pameran dan sebagainya. Disekitar luar kawasan makam pula, terdapat banyak kedai menjual cenderamata, baju dan sebagainya. Kami sempat membeli ole-ole untuk dijadikan  buahtangan buat teman-teman nanti.

            Masa bergerak semakin pantas, kami menuju ke pekan Kuah, untuk membeli-belah. Pelbagai aneka jenis kedai terdapat di pekan Kuah ini dan sudah menjadi kebiasaan kami ke premis Haji Ismail Group untuk membeli coklat kerana harga disini lebih murah daripada tempat lain kerana pulau ini bebas cukai. Manakala ahli keluarga yang lain pula membeli kain batik, pinggan mangkuk dan lain-lain. Jam di tangan sudah pun menunjukkan jam 6.30 petang, kami beransur pulang ke penginapan masing-masing, namun sebelum itu kami berhenti makan di restoran berdekatan untuk menjamu selera.

            Hari ketiga kami di pulau ini merupakan hari terakhir sebelum menuju ke Lapangan Terbang Langkawi. Justeru itu. kami cuba menghabiskan masa yang ada di pulai ini sebaik mungkin. Seawal jam 8.00 pagi, kami keluar sarapan di sekitar pekan Kuah. Seterusnya kami menuju ke Pantai Chenang untuk bermandi-manda sambil melihat keindahan pantai. Benar kata orang, air laut pantai Chenang kebiru-biruan. Sesudah itu, kami berjalan di sekitar deretan kedai di kawasan pantai ini, ternyata banyak kedai menjual pelbagai barangan dan Spa urutan kaki menjadi pilihan saya untuk menghilangkan lenguh-lenguh kaki. Bayaran yang dikenakan juga sangat berbaloi.

            Sudah sampai masanya untuk kami meninggalkan pulai terindah ini. Selesai sudah membeli-belah, kami ke kedai makan untuk makan tengahari. Akhirnya, kami menuju ke Lapangan Terbang Langkawi untuk penerbangan pulang pada petang itu. Percutian ini memberi satu semangat baru buat kami kerana dapat menerokai keunikan sebuah pulau dan melihat keindahan alam yang mendamaikan sekaligus memberi ketenangan kepada kami sekeluarga.
 
ketika melawat makam Mahsuri

 
 
selesai membeli-belah di Idaman Suri
 
 
Di 'Buffalo Farm'

Memori Sewaktu Alam Persekolahan


Alam persekolahan adalah tempoh yang paling lama bersama teman-teman. Ianya memberi pelbagai kenangan manis, pahit ,suka dan duka. Kehadiran rakan-rakan sekolah yang kaya dengan pelbagai sikap lucu, nakal, pemurah, sensitif telah memyumbang banyak memori sepanjang sesi persekolahan saya ketika dahulu.

            Masih saya ingat lagi kenangan sewaktu di sekolah rendah dahulu, ketika itu saya masih darjah satu. Sewaktu awal persekolahan, saya sering datang lambat ke sekolah. Bukan disebabkan saya lewat bangun tidur, tetapi disebabkan kelewatan abangku yang menghantar saya ke sekolah. Seingat saya, ketika itu, saya sampai di pintu utama sekolah kira-kira jam 7.45 pagi dan tidak dibenarkan masuk oleh pengawas sekolah yang bertugas. Lalu saya merayu untuk dilepaskan daripada hukuman namun nama saya tetap ditulis dalam buku catatan miliknya. Sejurus itu, saya terus menuju masuk kedalam kelas, kehadiran saya ketika itu disambut dengan ejekan dan ketawa dari rakan-rakan sekelas. Pada masa itu juga saya terus menangis dan menyalahkan abang kerana disebabkan kelewatan dia, saya terpaksa berdepan dengan ejekan dan hukuman. Peristiwa ini telah menjadi pengajaran buat diri saya dan juga abang.

            Sudah menjadi lumrah hidup di kampung, saya dilahirkan dikalangan keluarga yang agak susah. Kami lima adik-beradik dibesarkan dengan pendapatan ayah yang hanya Rm500 sahaja. Ini kerana abah saya hanya bekerja sebagai pemandu lori sahaja manakala emak pula tidak bekerja. Perbelanjaan saya ke sekolah pada masa itu hanya 50sen sehari. Masih segar dalam ingatan saya lagi, ketika saya di darjah tiga, saya menolong emak dengan menjual bungkusan kerepek pedas yang berharga lingkungan 30sen sebungkus. Pada mulanya, saya hanya menjual kepada kawan yang duduk bersebelahan dengan saya. Ini kerana saya berasa malu dengan kawan-kawan yang lain. Walaubagaimanapun, hari demi hari saya membiasakan diri sehingga kerepek yang dibawa telah habis dijual. Pulang dari sekolah dengan wajah kegembiraan, saya menyatakan kepada emak bahawa hari itu, kerepek telah habis dijual dan menyerahkan duit yang diperolehi kepadanya. Namun, emak tidak mengambil duit tersebut sebaliknya memberikan kepada saya. Katanya, ia sebagai upah saya menjual kerepek. Saat dan ketika itu, perasaan hiba dan sayu mula menyelubungi diri saya, ia membuatkan saya lari ke bilik dan menangis keseorangan. Sehingga hari ini, ia sangat terkesan dalam diri saya.

            Minat dan bakat yang mendalam dalam bidang mewarna dan melukis ketika alam persekolahan telah memberi peluang kepada saya untuk memenangi pertandingan mewarna diperingat sekolah rendah. Ketika itu saya masih belajar dalam darjah tiga. Tidak disangka-sangka, sewaktu perhimpunan pagi apabila mendengar nama saya diumum sebagai pemenang pertandingan itu. Saya terus menuju ke pentas dan mengambil hadiah. Itulah pertama kalinya saya menjejak kaki di pentas perhimpunan pagi. Justeru itu, balik dari sekolah saya terus mendapatkan emak untuk memberitahu bahawa saya memenangi pertandingan mewarna itu, pujian dan ucapan tahniah daripada emak membuatkan saya tidak membuka hadiah yang diperolehi selama beberapa hari. Peristiwa ini telah memberi semangat kepada saya untuk memasuki pertandingan mewarna lagi. Lucukan.

            Pelbagai peristiwa yang banyak mencuit hati telah berlaku. Ia bukan sahaja sebagai tanda kenangan tetapi sebagai pengajaran dan hikmah buat diri saya agar lebih matang dan bersedia dalam menempuh hari-hari yang mendatang. Kenangan dan memori yang terpahat diingatan ini akan saya sematkan dalam hati kerana ia sangat berharga dan sekaligus menjadi kayu pengukur kepada sikap dan personaliti saya sewaktu alam persekolahan.

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M 2.0)


Peningkatan kos sara hidup yang tinggi sejak akhir-akhir ini menyukarkan  urusan perbelanjaan seharian. Pelbagai pemberian dan insentif diberikan kerajaan untuk semua golongan bagi menunjukkan kerajaan komited untuk mengurangkan beban perbelanjaan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.  Oleh itu, kerajaan telah mengambil langkah untuk membantu rakyat dengan memberikan beberapa bantuan kewangan kepada rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.. Antaranya ialah bantuan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah bagi meringankan kos sara hidup rakyat negara ini. Penyerahan bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ini telah bermula pada tahun lepas. Selain itu, golongan bujang juga diberi perhatian dimana mereka yang berpendapatan rendah berumur 21 tahun ke atas dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM2,000 ke bawah layak menerima BR1M itu yang berjumlah RM250. Peruntukkan kerajaan telah memanfaatkan 2.7 juta individu bujang dan 4 juta isi rumah untuk menerima bantuan ini. Jelaslah bahawa bantuan ini amat diperlukan oleh sekalian rakyat.

            Ekoran daripada peruntukkan yang diberi kerajaan ini, saya berpandangan bahawa bantuan seperti ini wajar diberi kepada rakyat agar dapat membantu rakyat mengatasi masalah kewangan. Berdasarkan keprihatinan kerajaan, saya memuji keprihatinan Datuk Seri Najib mengenai masalah rakyat. Hal ini kerana bantuan sebanyak  RM500 itu mampu menjadi penyelamat ketika menghadapi kesempitan kewangan tanpa mengira perbezaan kaum. Maka, saya melihat bantuan yang diberi adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam usaha untuk membantu rakyat.

            Melalui pelbagai pandangan ramai orang, mereka mengharapkan kerajaan dapat meneruskan BR1M itu kerana mampu membantu golongan miskin untuk mengatasi masalah kewangan. biarpun sesetengah orang menilaikan jumlah itu tidak seberapa, namun bagi golongan berpendapatan rendah  bantuan ini disifatkan  sebagai sesuatu yang sangat bermakna. BR1M untuk golongan bujang wajar diteruskan untuk meringankan beban golongan itu yang berpendapatan rendah bagi memenuhi keperluan harian termasuk menyara ibu bapa dan sebagainya.

            Menangani kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah terus dijadikan keutamaan bagi pihak kerajaan apabila pada pembentangan manifesto atau 'Aku Janji' Barisan Nasional (BN), pemberian BR1M akan ditambah secara berperingkat sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk golongan bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan. Keadaan ini pastinya memberi satu harapan kepada rakyat agar bantuan kerajan dapat meringankan segala masalah yang berkaitan dengan kewangan yang sering dialami oleh semua lapisan masyarakat.

            Dalam pada itu, lebih 5.3 juta murid sekolah dari tahun satu hingga tingkatan lima juga menerima bantuan kewangan sebanyak RM100 bagi tujuan perbelanjaan persekolahan dan sebagainya. Seramai 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi, tingkatan enam dan matrikulasi turut memperolehi bantuan menerusi baucer buku bernilai RM250. Bantuan ini jelas memberi pelbagai manfaat dan faedah kepada para pelajar untuk menggunakan bantuan kewangan ini kearah kebaikan. Saya melihat pemberian BR1M ini adalah lebih menyeluruh dan ia sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan seperti golongan pelajar dan yang telah berkeluarga. Disamping itu, bantuan ini merupakan satu perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang berkesan dalam usaha kerajaan untuk membela rakyat dan membangunkan negara.

            Justeru itu, saya melihat bantuan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan kepada rakyat telah memberi banyak manfaat kepada pembangunan sosial. Saya berharap bantuan ini dapat diteruskan pada setiap tahun dan kerajaan akan terus melakukan yang terbaik supaya rakyat mendapat kesejahteraan dan negara terjamin dan makmur.

Petua Hindari Perut Buncit



Sebahagian besar masalah perut buncit atau menggelembung disebabkan oleh faktor diet dan gaya hidup seseorang. Berikut terdapat beberapa cara untuk mengatasinya. Antara punca utama yang menyebabkan masalah perut buncit adalah disebabkan sistem penghadaman yang tidak lancar. Berikut adalah petua yang dapat membantu melancarkan lagi sistem penghadaman anda dan secara tidak langsung dapat membantu untuk mengatasi masalah perut buncit yang anda hadapi.

1.    Elakkan minuman sejuk ketika makan

Makanan akan lebih cekap dicernakan sekitar suhu badan. Minuman sejuk akan merendahkan lagi suhu badan dan akan melambatkan proses pencernaan makanan. Ini secara tidak langsung akan memberi masalah perut buncit kepada anda. Sekiranya anda seorang yang perlu minum ketika makan, ambil minuman yang panas atau suam. Jika anda mampu bertahan untuk minum setengah jam selepas anda makan adalah lebih baik. 

2.    Makan perlahan-lahan

Elakkan makan dengan cepat kerana ketika akan tertelan udara. Ia akan membentuk gas yang menjadi faktor kepada bergelembungnya perut. Duduk ketika makan dan kunyah makan secara perlahan-lahan. Amalan mengunyah makanan sehingga hancur perlu dipraktikkan kerana ia memudahkan pencernaan. Makanan yang tidak terkunyah menjadi bahagian-bahagian kecil sukar dicerna dengan sempurna yang kemudian menghasilkan banyak gas yang menimbulkan perut kembung.
 
3.    Amalkan minum jus limau

Pastikan setiap pagi sebelum anda bersarapan, anda perlu meminum segelas jus limau suam. Ini kerana ia dapat membantu membersihkan sisa-sisa makanan dan juga asid yang tertinggal didalam perut anda. Antara minuman lain yang boleh anda gunakan adalah seperti lemon dan epal hijau.  

4.    Bersenam

Lakukan senaman latih tubi atau ‘sit up’ di rumah ketika mempunyai waktu terluang. Cara ini dapat membantu untuk mengatasi masalah perut buncit. Selain itu, ia sangat mudah sama ada ketika bangun pagi atau sebelum tidur. Cukup sekadar 10 hingga 15 kiraan setiap hari. Aktiviti bersenam akan membantu menggerakkan cairan dalam perut yang dikeluarkan menjadi peluh.  Aktiviti yang disarankan seperti berjongging dan berjalan kaki.