Alam persekolahan adalah
tempoh yang paling lama bersama teman-teman. Ianya memberi pelbagai kenangan
manis, pahit ,suka dan duka. Kehadiran rakan-rakan sekolah yang kaya dengan pelbagai
sikap lucu, nakal, pemurah, sensitif telah memyumbang banyak memori sepanjang
sesi persekolahan saya ketika dahulu.
Masih saya ingat lagi kenangan sewaktu di sekolah rendah
dahulu, ketika itu saya masih darjah satu. Sewaktu awal persekolahan, saya
sering datang lambat ke sekolah. Bukan disebabkan saya lewat bangun tidur,
tetapi disebabkan kelewatan abangku yang menghantar saya ke sekolah. Seingat saya,
ketika itu, saya sampai di pintu utama sekolah kira-kira jam 7.45 pagi dan tidak
dibenarkan masuk oleh pengawas sekolah yang bertugas. Lalu saya merayu untuk
dilepaskan daripada hukuman namun nama saya tetap ditulis dalam buku catatan
miliknya. Sejurus itu, saya terus menuju masuk kedalam kelas, kehadiran saya ketika
itu disambut dengan ejekan dan ketawa dari rakan-rakan sekelas. Pada masa itu juga
saya terus menangis dan menyalahkan abang kerana disebabkan kelewatan dia, saya
terpaksa berdepan dengan ejekan dan hukuman. Peristiwa ini telah menjadi
pengajaran buat diri saya dan juga abang.
Sudah menjadi lumrah hidup di kampung, saya dilahirkan
dikalangan keluarga yang agak susah. Kami lima adik-beradik dibesarkan dengan
pendapatan ayah yang hanya Rm500 sahaja. Ini kerana abah saya hanya bekerja
sebagai pemandu lori sahaja manakala emak pula tidak bekerja. Perbelanjaan saya
ke sekolah pada masa itu hanya 50sen sehari. Masih segar dalam ingatan saya
lagi, ketika saya di darjah tiga, saya menolong emak dengan menjual bungkusan
kerepek pedas yang berharga lingkungan 30sen sebungkus. Pada mulanya, saya
hanya menjual kepada kawan yang duduk bersebelahan dengan saya. Ini kerana saya
berasa malu dengan kawan-kawan yang lain. Walaubagaimanapun, hari demi hari
saya membiasakan diri sehingga kerepek yang dibawa telah habis dijual. Pulang
dari sekolah dengan wajah kegembiraan, saya menyatakan kepada emak bahawa hari
itu, kerepek telah habis dijual dan menyerahkan duit yang diperolehi kepadanya.
Namun, emak tidak mengambil duit tersebut sebaliknya memberikan kepada saya. Katanya,
ia sebagai upah saya menjual kerepek. Saat dan ketika itu, perasaan hiba dan
sayu mula menyelubungi diri saya, ia membuatkan saya lari ke bilik dan menangis
keseorangan. Sehingga hari ini, ia sangat terkesan dalam diri saya.
Minat dan bakat yang mendalam dalam bidang mewarna dan
melukis ketika alam persekolahan telah memberi peluang kepada saya untuk
memenangi pertandingan mewarna diperingat sekolah rendah. Ketika itu saya masih
belajar dalam darjah tiga. Tidak disangka-sangka, sewaktu perhimpunan pagi
apabila mendengar nama saya diumum sebagai pemenang pertandingan itu. Saya terus
menuju ke pentas dan mengambil hadiah. Itulah pertama kalinya saya menjejak
kaki di pentas perhimpunan pagi. Justeru itu, balik dari sekolah saya terus
mendapatkan emak untuk memberitahu bahawa saya memenangi pertandingan mewarna
itu, pujian dan ucapan tahniah daripada emak membuatkan saya tidak membuka
hadiah yang diperolehi selama beberapa hari. Peristiwa ini telah memberi semangat
kepada saya untuk memasuki pertandingan mewarna lagi. Lucukan.
Pelbagai peristiwa yang banyak mencuit hati telah berlaku.
Ia bukan sahaja sebagai tanda kenangan tetapi sebagai pengajaran dan hikmah
buat diri saya agar lebih matang dan bersedia dalam menempuh hari-hari yang
mendatang. Kenangan dan memori yang terpahat diingatan ini akan saya sematkan
dalam hati kerana ia sangat berharga dan sekaligus menjadi kayu pengukur kepada
sikap dan personaliti saya sewaktu alam persekolahan.
No comments:
Post a Comment