Saturday, May 11, 2013

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M 2.0)


Peningkatan kos sara hidup yang tinggi sejak akhir-akhir ini menyukarkan  urusan perbelanjaan seharian. Pelbagai pemberian dan insentif diberikan kerajaan untuk semua golongan bagi menunjukkan kerajaan komited untuk mengurangkan beban perbelanjaan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.  Oleh itu, kerajaan telah mengambil langkah untuk membantu rakyat dengan memberikan beberapa bantuan kewangan kepada rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.. Antaranya ialah bantuan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah bagi meringankan kos sara hidup rakyat negara ini. Penyerahan bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ini telah bermula pada tahun lepas. Selain itu, golongan bujang juga diberi perhatian dimana mereka yang berpendapatan rendah berumur 21 tahun ke atas dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM2,000 ke bawah layak menerima BR1M itu yang berjumlah RM250. Peruntukkan kerajaan telah memanfaatkan 2.7 juta individu bujang dan 4 juta isi rumah untuk menerima bantuan ini. Jelaslah bahawa bantuan ini amat diperlukan oleh sekalian rakyat.

            Ekoran daripada peruntukkan yang diberi kerajaan ini, saya berpandangan bahawa bantuan seperti ini wajar diberi kepada rakyat agar dapat membantu rakyat mengatasi masalah kewangan. Berdasarkan keprihatinan kerajaan, saya memuji keprihatinan Datuk Seri Najib mengenai masalah rakyat. Hal ini kerana bantuan sebanyak  RM500 itu mampu menjadi penyelamat ketika menghadapi kesempitan kewangan tanpa mengira perbezaan kaum. Maka, saya melihat bantuan yang diberi adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam usaha untuk membantu rakyat.

            Melalui pelbagai pandangan ramai orang, mereka mengharapkan kerajaan dapat meneruskan BR1M itu kerana mampu membantu golongan miskin untuk mengatasi masalah kewangan. biarpun sesetengah orang menilaikan jumlah itu tidak seberapa, namun bagi golongan berpendapatan rendah  bantuan ini disifatkan  sebagai sesuatu yang sangat bermakna. BR1M untuk golongan bujang wajar diteruskan untuk meringankan beban golongan itu yang berpendapatan rendah bagi memenuhi keperluan harian termasuk menyara ibu bapa dan sebagainya.

            Menangani kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah terus dijadikan keutamaan bagi pihak kerajaan apabila pada pembentangan manifesto atau 'Aku Janji' Barisan Nasional (BN), pemberian BR1M akan ditambah secara berperingkat sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk golongan bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan. Keadaan ini pastinya memberi satu harapan kepada rakyat agar bantuan kerajan dapat meringankan segala masalah yang berkaitan dengan kewangan yang sering dialami oleh semua lapisan masyarakat.

            Dalam pada itu, lebih 5.3 juta murid sekolah dari tahun satu hingga tingkatan lima juga menerima bantuan kewangan sebanyak RM100 bagi tujuan perbelanjaan persekolahan dan sebagainya. Seramai 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi, tingkatan enam dan matrikulasi turut memperolehi bantuan menerusi baucer buku bernilai RM250. Bantuan ini jelas memberi pelbagai manfaat dan faedah kepada para pelajar untuk menggunakan bantuan kewangan ini kearah kebaikan. Saya melihat pemberian BR1M ini adalah lebih menyeluruh dan ia sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan seperti golongan pelajar dan yang telah berkeluarga. Disamping itu, bantuan ini merupakan satu perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang berkesan dalam usaha kerajaan untuk membela rakyat dan membangunkan negara.

            Justeru itu, saya melihat bantuan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan kepada rakyat telah memberi banyak manfaat kepada pembangunan sosial. Saya berharap bantuan ini dapat diteruskan pada setiap tahun dan kerajaan akan terus melakukan yang terbaik supaya rakyat mendapat kesejahteraan dan negara terjamin dan makmur.

1 comment:

  1. This article was written by a real thinking writer without a doubt. I agree many of the with the solid points made by the writer. I’ll be back day in and day for further new updates. bantuan sara hidup rakyat

    ReplyDelete